Tuesday, September 2, 2008
YANG ANEH YANG LUCU
Minta 70 Dulang Otak Manusia
Semasa masih dalam Yahudi, Abdullah bin Saba’ telah mengatakan bahawa Yusa’ bin Nun telah mendapat wasiat dari Nabi Musa Alaihissalam tentang kepimpinan selepasnya. Apabila masuk Islam, dia mempromosikan ideanya pula yang mengatakan bahawa Ali bin Abi Thalib telah mendapat wasiat dari Nabi Muhammad SAW agar memegang kepimpinan sesudah kemangkatan baginda.
Abdullah bin Saba’lah yang mula-mula mengatakan bahawa imamah itu adalah hak Ali bin Abi Thalib, dan dia telah mencerca sahabat-sahabat yang lain. Dia berkata bahawa Ali bin Abi Thaliblah yang menyuruhnya agar mengeluarkan perkataan tersebut. Apabila Ali mendengar perkara tersebut, beliau telah memerintahkan agar Abdullah bin Saba’ ditangkap dan dibunuh. Akan tetapi ketika hukuman akan dijalankan, beberapa orang pendukungnya telah menghalangnya dengan suatu alasan. Kemudian Ali membuang bekas tokoh Yahudi itu ke Madain. Walau bagaimanapun, Abdullah bin Saba’ masih tetap mempertahankan ideanya kerana memang bertujuan ingin menggoncang aqidah umat Islam dari dalam.
Ketika berita kewafatan Khalifah Ali telah tersebar, Abdullah bin Saba’ menyumpah-nyumpah membantah dan tidak mempercayainya. Dia telah berkata kepada orang yang membawa berita itu: “Engkau telah berbohong! Walaupun engkau bawa ke sini otak Ali dalam tujuh puluh dulang dan engkau bawa tujuh puluh orang saksi yang adil mengakui bahawa Ali telah terbunuh, aku tetap tidak mempercayainya. Aku tahu bahawa Ali tidak akan mati dan tidak akan terbunuh. Sesungguhnya beliau tidak akan mati sehinggalah beliau menguasai seluruh muka bumi ini.” Apa yang jelas, Sayyidana Ali bin Abi Thalib memang wafat terbunuh, kerana beliau adalah manusia biasa juga.
^ Kembali ke atas ^
Rahsia Alif, Lam, Mim Dalam Surat Khalifah
Diceritakan bahawa Sultan Mahmud telah mencabar Khalifah Al-Qadir Billah di Baghdad, mungkin kerana timbul suatu perselisihan faham. Sultan Mahmud menghantar utusan kepada Khalifah Al-Qahir dengan membawa surat ugutan bahawa beliau sanggup menghantar pasukan bergajah untuk melanggar dan memporak perandakan Baghdad. Diterangkannya pula bahawa gajah-gajahnya boleh mengangkat bumi Baghdad dan dibawa ke Ghazanah.
Khalifah Al-Qadir tidak tinggal diam, beliau terus mengirim surat cabaran. Anehnya surat Khalifah hanya mengandungi tiga huruf saja iaitu: ( Alif, Lam, Mim ) Sultan bingung ketika menerima surat tersebut kerana tidak faham apa maksudnya. Beliau memanggil pakar-pakar bahasa, tapi mereka juga tidak mengetahui maksudnya. Ahli-ahli Tafsir dan Al-Quran juga dipanggil dan mereka berusaha mempadan-padankan surat Khalifah itu dengan surah-surah di dalam Al-Quran yang diawali dengan huruf Alif Lam Mim, tapi tidak sesuai. Ia tidak dapat dihubung kaitkan dengan kandungan surat Khalifah yang dihantar kepada Sultan.
Dalam keadaan Sultan bingung mencari orang yang lebih pakar lagi, tampil seorang pemuda yang selama ini tidak diambil kira oleh mereka.
“Kalau Sultan mengizinkan, saya cuba untuk mempelajari rahsia surat itu.” kata si pemuda.
Para pegawai istana melaporkan tawaran si pemuda kepada Sultan, dan baginda mengizinkannya.
“Panggil dia ke sini.” kata Sultan.
Si pemuda masuk dan surat itu pun dihulurkan kepadanya. Setelah berfikir beberapa minit, si pemuda bertanya: “Apakah Sultan pernah menghantar surat kepada Khalifah yang berisi ugutan untuk menyerang dengan menggunakan tentera bergajah?”
“Betul, betul. Tapi apa hubungannya?” tanya Sultan.
“Kalau begitu, Khalifah telah menghantar surat kepadamu yang ertinya: “Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah? Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Ka’bah) itu sia-sia?”
(Al-Fil: 1-2) “Oh... betul tuanku. Khalifah telah menyahut cabaran tuanku.” kata para pakar bahasa dan Tafsir hampir serentak. Sultan merasa gembira dan berterima kasih kepada si pemuda dan diberinya hadiah yang banyak. Mereka juga merasa gelihati sendiri kerana telah berpusing-pusing membongkar Tafsir dan mengkaji surah-surah yang dimulakan dengan Alif lam mim, tapi ternyata ia hanyalah hujung surat Al-Fil.*
Aristotles berkata: “Orang yang berakal dapat menangkap fikiran orang yang berakal. Sedang orang yang bodoh tidak dapat menerima fikiran orang yang berakal, bahkan tidak dapat menerima orang bodoh.”
^ Kembali ke atas ^
Dipetik Dari Buku: 6006 Senyum - Himpunan Kisah-kisah LucuPengarang: A. K. Alang Jaafar.
All Right Reserved Darul Nu'man © EMAG 1991
Subscribe to:
Posts (Atom)